Pages

marilah memperkaya minda... segalanya dikongsi bersama

apabila kita menyuarakan sesuatu, kita perlu memikirkan orang lain yang berada disekeliling kita kerana dunia ini milik bersama.. hidup tidak perlu mementingkan diri.. Dia lebih mengetahui..

Tuesday, November 27, 2012

Kerdilnya aku disisi Mu...

Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain maka dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah. -Luqman Al Hakim-



Hampir setahun berlalu, barulah ada kesempatan untuk saya menulis semula, rasanya kalaulah blog saya sebuah rumah, tentunya bersawang teruk kan? Alhamdulillah, tahun 2012 bakal berlalu sebulan lebih sedikit sahaja lagi, dan tahun ini amat bermakna buat saya. Doa-doa  dan harapan saya banyak yang dimakbulkan Allah.

Kenangan terindah dalam hidup saya adalah apabila pada bulan Mac yang lalu, saya dijemput menjadi tetamuNya, menjejakkan kaki di tanah haram, bumi para anbiya'..Ya Allah, menitis air mata saat melihat rumah Allah dambaan semua umat islam di dunia ini. Saat itu, andai diambil nyawa sekalipun saya rela. Begitu terkesannya saya kerana sejak tahun 2008 lagi hajat untuk menjejakkan kaki ke sana tidak kesampaian. 

Sesungguhnya saat itu terasa kerdilnya diri, semua umat islam sama disisi-Nya. Saya kagum dengan pelaksanaan amalan umat islam di tanah haram. Saat azan berkumandang, semua aktiviti perniagaan akan berhenti, berduyun-duyun menyambut seruan menuju kejayaan. saya kagum melihat segala bangsa yang ada didunia ini berkumpul dan beribadat. 


Ini baru pekerjaan umra, belum lagi haji..Ya Allah, saat Kau menjemput sesiapa sahaja untuk menjadi tetamunya, bukan darjat menjadi ukuran namun niat dan keikhlasan serta kesungguhan menjadi pilihan. Kunjungan saya ke tanah haram sebenarnya mengubah diri saya hampir 360 darjah. Biar hanya saya yang tahu apa yang berubah dan saya sentiasa memanjatkan doa agar saya lebih istiqomah.

Dan saya akur, Allah itu maha penyayang, maha mengasihani, segala yang berlaku ada hikmahnya.  kunjungan ke makam Rasulullah buat kali pertama tidak dapat saya penuhi kerana keuzuran. Namun saat berpeluang, saya tidak abaikan.. kerinduan kepada Rasulullah membuak-buak, anehkan? Kekasih Allah yang tidak pernah kita temui tetapi sangat dirindui.. Subhanallah..

 

 Berlatarkan makam Rasulullah- Al Fatihah..


Di hadapan Masjidil haram.
 Lawatan ke Ladang Unta
Tentunya sebagai seorang muslim, kita berharap agar Allah menjemput kita sebagai tetamu-Nya bagi menunaikan rukun islam yang ke lima.. semoga kita semua dipermudahkan jalan untuk mengumpul kemampuan, InsyaAllah..